Ketinggian hasil seni pertukangan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Dahulu, dikatakan tukang keris atau dipanggil ‘pandai besi’ perlu melihat dan mentafsir beberapa perkara sebelum menghasilkan sebilah keris yang ditempah. ‘Pandai besi’ akan menyelidik tarikh lahir, hari lahir, nama ibu, dan lain-lain lagi daripada bakal pemilik keris. Mata keris akan mula dibuat pada hari selasa selama tujuh hari. Mata keris juga perlu menepati empat unsur alam iaitu angin, api, air, dan tanah. Keempat-empat unsur ini wujud secara langsung. Unsur angin akan meniup api bagi membakar besi. Air pula untuk merendam unsur api tadi agar besi lebih sebati. Tanah pula dikatakan asal besi diambil. Manakala empat logam iaitu emas, perak, gangsa, dan suasa akan dicampurkan sebagai ‘penambah bisa’. Jika dikira tinjauan dan kajian di Cerebun, seorang pemakai membuat sebilah keris dengan menggunakan besi yang dipanggil besi tujuh ‘pa’ (huruf jawi) dari tujuh pengkalan atau tujuh kuala sungai, tujuh daerah atau negeri. ‘Pa’ yang dimaksudkan ialah paku, parang, payung, puting, pahat, pedang, pemukul. (Femomena Keris II, 1999: 84)Setelah siap dihasilkan bentuknya, keris akan direndam ke dalam air belerang yang mengandungi garam dan limau nipis dalam beberapa hari (dalam kiraan ganjil). Untuk menimbulkan ayat, gam digunakan untuk menulis atas mata keris.
Terdapat juga pantang larang yang perlu dipatuhi oleh ‘pandai besi’. Antaranya ialah ‘pandai besi’ tidak boleh bercakap sembarangan atau sesedap mulut ketika proses menghasilkan keris. Wanita pula dilarang masuk ke dalam bangsal atau pondok membuat keris. ‘Pandai besi’ juga perlu berpuasa dan perlu tahu seni membuat keris ketika pekerjaan ini dilakukan. Bagi pemilik keris pula, dia perlu mematuhi pantang-larang menjaga keris. Antaranya ialah tidak boleh diletakkan merata-rata, bimbang dilangkah anak yang dipercayai boleh membawa musibah. Selain itu, keris perlu dielak daripada dilanggar atau dipijak. Hal ini disebabkan perbuatan itu diibaratkan diri si pemilik keris seolah-olah ‘dilangkah’ atau ‘disepak’ (jatuh maruah). Begitulah antara syarat dan pantang-larang si pembuat keris dan si pemiliknya. Sekalipun dilihat sebagai satu ‘adat’ atau ‘syarat’, sebenarnya status keris telah diangkat ke tahap yang tinggi bagi menghargai dan menghormati ilmu, kebijaksanaan serta seni tukangan bangsa Melayu itu sendiri. Maka lahirlah pembuat-pembuat keris yang terkenal dalam seni pertukangan Melayu seperti Tok Uban (Keris Kencana Sakti), Tok Kaya Kilat (Keris Rajawali). Manakala di Indonesia pula seperti Pendita Alam Buana (Keris Sempana Pendita Alam Buana, Keris Pendita Alam Sakti), Bromokehedali (Keris Tundung Mungsuh) dan lain-lain lagi.
Jika keris menjadi senjata pendekar Melayu, pastinya dipenuhi ‘isi permainan’ dan penuh berahsia. Dalam dunia persilatan, seseorang yang tahu berseni keris akan tahu ‘bisa keris’ di tangan. Orang-orang dahulu (para pesilat lama) menyimpan keris kerana mereka tahu berseni keris dan tidak menjualnya. Setiap keris lama ada cerita, rahsia, dan adat tersendiri yang bukannya dibuat sesuka hati. Oleh itu, permainan keris dalam silat perlu ditunjangi gerak seni yang diperkukuhkan dengan unsur-unsur keunikan, kehalusan, kekuatan, dan keberkesanan gerak permainannya. Gabungan ‘keharmonian’ minda pesilat, gerak rasa yang mendalam turut memainkan peranan yang penting agar permainan seni keris itu benar-benar ‘hidup’. Gaya memegang keris perlu difahami terutama kepada para pesilat atau seseorang yang sedang mempelajari ‘ilmu berkeris’ agar tidak tersilap langkah yang boleh menyebabkan keris memakan tuannya kembali. Cara menggenggam keris samalah seperti orang Melayu menunding jari kepada seseorang atau sesuatu arah. Ibu jari menjadi penunjuk dan diletakkan pada pedongkok. Manakala empat jari yang lain akan mengenggam hulu keris. Bagi para pesilat atau pendekar, keserasian genggaman keris dilihat pada kelurusan ibu jari yang sama dengan hujung keris. Mata keris sentiasa menghadap ke hadapan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap musuh setiap masa. Genggaman keris yang betul akan mempermudahkan keris digunakan oleh pesilat untuk menikam mangsa.
Gerak-geri seni berkeris dapat dirasai apabila gerakan menghunus, menolak, dan menikam ditunjangi kekuatan dan ‘gerak rasa’ daripada belakang tangan. Ibu jari menjadi kunci utama pergerakan ‘menggelek keris’ (setelah keris ditusuk ke dalam badan). Manakala jari petunjuk memainkan fungsi utama mengeluarkan keris daripada sasaran. Dalam ilmu persilatan, hal ini diistilahkan ‘gerak dengan petua, pegang berasa’ kerana langkah musuh pun berahsia. Begitulah kepentingan berilmu yang perlu dipelajari dan difahami oleh pengamalnya. Apabila gerak sudah ada petua, petua pula bersama seni. Semasa menikam, musuh sukar untuk mengelakkan diri walau ke kanan, ke kiri, ke luar, dan ke dalam kerana setiap pergerakan lawan bakal menerima musibah dan tindak balas di luar jangkaannya. Bak kata-kata lama orang tua, ‘hendak cuit telinga, bagaimana dicuba elak sekalipun, tetap dicuit atau tercuit’.
Dari sudut sifat orang Melayu melalui cara memegang keris, genggaman tangan dengan ibu jari ke hadapan dan empat jari yang lain digenggam ke dalam telapak tangan menunjukkan orang Melayu yang mempunyai sifat rendah diri, menghormati, dan beradab sopan. Namun, dalam kelembutan sifat orang Melayu itu tertera ketegasan, keberanian, dan kewaspadaan sepanjang masa. Hal ini dibuktikan dengan senjata keris itu menjadi simbol sifat-sifat tadi. Jelaslah, bahawa cara genggaman keris merupakan simbol kepada sifat orang Melayu yang bersopan-santun dan berlemah-lembut. Manakala keris menjadi simbol pada keberanian, kehebatan, dan kekuatan bangsa Melayu.
Cara mengeluarkan keris pendekar Melayu pula mempunyai sedikit perbezaan dengan cara gaya penjurit (pesilat) Jawa. Menurut O’ong Maryono (penulis Indonesia), selepas keris dikeluarkan senjata itu dibawa ke hadapan dan dikucup. Penjurit (pesilat) Jawa pula akan membawa mesej melalui pergerakan tadi iaitu “Ia milikku dan hakku”. Bagi pendekar semenanjung pula, keris yang telah dikeluarkan daripada sarung akan ditunjukkan ke hadapan sebagai menyatakan “Ini Keris. Keris digenggamanku”.
Seterusnya, setelah dikucup dengan mesej yang disampaikan, penjurit (pesilat) Jawa akan mendekatkan keris itu ke ulu hatinya. Perbuatan ini untuk mendapat resapan makhluk halus ke dalam tubuh ‘si pemakai’. Berbeza dengan pendekar Melayu, keris yang telah dikucup akan dibawa ke hadapan semula dengan lafaz hati “Semua ini milik Allah.” Bagi pahlawan Jawa, keris ialah senjata terakhir sekiranya senjata-senjata lain seperti lembing dan parang tiada lagi dalam genggaman. Keris bagi pahlawan Kepulauan Indonesia ini dianggap suci dan keramat. Apabila dicabut, ia dianggap harapan terakhir ‘si pemakai’ dan rohaninya akan bercantum dengan dunia mistik (makhluk halus). Pastinya cara ini bertentangan dengan budaya, fikiran, dan pegangan bangsa Melayu yang berlandaskan ajaran-ajaran Islam.
Pesilat juga harus memahami pantang larang ‘bertari keris’. Setelah keris dihunus keluar, pantang bagi seseorang pesilat mengadapkan mata keris pada diri sendiri. Hal ini ditakuti senjata tadi boleh memakan tuannya kembali. Hujung mata keris juga jangan melintasi tangan di sebelah. Kelak, musibah yang sama bakal berlaku kepada diri pesilat. Kedua-dua pantang larang ini untuk mengelakkan pesilat daripada melakukan kesilapan gerak tari dan pencak seni yang boleh memberikan mudarat. Sarung keris ditegah untuk ditinggalkan ataupun diletakkan di tempat yang lain semasa berpencak. Sarung keris haruslah disisip di pinggang atau dipegang kerana sarung juga merupakan senjata yang menjadi penahan atau penangkis serangan-serangan musuh. Jika seseorang pesilat mampu ‘mencuri’ sarung keris milik lawannya, ia telah dianggap satu ‘kemenangan’ bagi pihaknya dan bebanan kesusahan untuk lawannya.Keris turut boleh ‘bergaya’ atau ‘bermain’ seperti senjata-senjata Melayu yang lain. Bagi orang-orang lama (pesilat-pesilat tua), tunjang seseorang pendekar dapat menguasai kemahiran permainan senjata-senjata Melayu yang lain ialah setelah berjaya menguasai ilmu keris. Disebabkan itulah, seseorang pesilat dapat membayangkan dirinya memegang senjata-senjata lain seperti parang, lembing, pisau, belati, seligi dan mudah menguasai permainan senjata-senjata ini. Permainan ‘hak’ atau ‘persalinan’ bermula ‘sembah guru’ (menghormati orang di hadapan, membawa mesej agar berwaspada) mesti mempunyai kesepaduan ibarat tali yang utuh iaitu tapak (tapak sedia, tapak Melayu, tapak panglima), jula beli (buka ruang, umpan sasaran), pencak (gerakan tangkisan, pukulan), seni (kuncian, membinasa, hukuman), langkah kaki, dan gerak mata perlu bersatu. Kaedah gerak perlu dirasa dan dihayati sedalamnya agar rentak dan tari keris ‘bernyawa’. ‘Nyawa’ keris terletak pada kesepaduan tadi yang menjadikan seni sebagai ‘roh’ atau ‘batinnya’. Namun, seni permainan keris bukan mudah untuk dihuraikan. Perkara itu bertumpu kepada ‘rasa’ si pemakai dan’pakaian silatnya’. .” Kaedah-kaedah biasa dalam ‘bertari keris’ ialah cara kedudukan berdiri.
Jika seseorang pesilat tidak berpusat dengan betul pada tapak sedianya, boleh membuatkan pemegang keris jatuh tergolek apabila melangkah sedikit laju. Pergerakan ‘ambil angin’ ialah langkah awal seseorang pesilat menggerakkan pencak permainannya. Keris yang ada dalam genggaman akan bergerak atau ‘dihidupkan’ untuk menanti musuh. Setelah sasaran diketahui dan didapati, serangan secara menghunus atau menikam menjadi penggerak ‘niat’ pemegang keris itu. Hirisan dan putaran keris melengkapkan ‘niat’ tadi. Lok keris membantu mengoyakkan kulit. Bilah pula merobek isi badan. Mata keris dapat membuatkan mangsa putus urat hingga terhiris tulang. Manakala menarik keris keluar membawa mesej ‘kepuasan’ si pemegangnya dengan isi daging musuh turut dibawa keluar. Begitulah ‘bisa keris’. Makan apabila lapar. Berhenti setelah kenyang. Gerakan-gerakan ini bukan sahaja dapat dirasai dan dihayati oleh pengamalnya, malahan dalam kisah Wali Songo yang ditulis oleh Kiai Sidek Maulashah Marikan (Mahaguru Silat Cindai Putih) mengenai As-Syeh Sunan Kudus (Majalah Seni Bela Diri 2001: 37) turut menggambarkan situasi berikut berdasarkan ayat ….”Maka ditusukkan siku Ki Ageng dengan hujung keris tersebut. Ki Ageng langsung mati…”. Jika diamati dengan lebih teliti gerakan serangan dan tikaman keris umpama pergerakan-pergerakan unsur alam. Hirisan dan putaran mata keris diibaratkan kocakan dan pusaran air. Hentakan hulu keris atau sarungnya umpama pergerakan pohon yang tumbang. Tikaman keris (hukuman) seolah-olah gerakan halilintar di langit. Malahan, badan-badan keris juga diibaratkan anggota-anggota badan manusia. Mata keris yang berfungsi untuk menikam, menghiris, merobek, merodok, mencucuk, melibas, dan menusuk sama fungsinya dengan tangan yang boleh mencengkam, merobek, menetak, menusuk, melibas. Hulu keris pula berfungsi menghentak, menuku, mengaut, mengait. Peranan hulu keris pula seperti siku yang mampu menghentak, menuku, menyigung, dan mengepit. Manakala sarung keris yang berperanan mengalih, menekan, menghentak, menolak, dan menangkis sama seperti peranan lengan manusia untuk mengalih, menekan, menangkis dan menolak.
Setiap gerak keris ‘bertutur’, keris pula ‘bercerita’. Apabila langkah dipasang, gerak ‘bertutur kata’ ; “Hak ini hak Allah, gerakku, kudratku dari kuasa-Nya.” Cara gaya pendekar berkeris ada madahnya; “Musuh menanti bakal disambut, datang berpusu bakal ditusuk. Namun yang menikam bukan tanganku, tapi gerak takdir sebagai penentu.” Segala pergerakan permainan keris yang disamakan dengan unsur-unsur alam serta ‘cerita dan madah’ berkeris memperlihatkan kreativiti, daya imaginasi, manifestasi serta kejiwaan bangsa Melayu yang begitu tinggi. Hal ini jua membuktikan bangsa Melayu dapat berinteraksi dan mengharmonikan unsur-unsur alam di sekelilingnya dengan cara perlakuan yang penuh berdisiplin hasil ketajaman minda, kefahaman dan pengolahan yang baik .Jika disingkap lipatan tawarikh silam dalam kerajaan Melayu khususnya di negara kita, keris telah diletakkan pada kedudukan yang istimewa.
Dalam lingkungan istana, keris dijadikan tanda kebesaran, tanda pangkat, dan alat kelengkapan pakaian seragam terutama dalam majlis upacara rasmi. Antaranya Keris Panjang Di Raja (keris kerajaan) sebagai tanda kebesaran dan kekuasaan yang dipakai oleh ketua pemerintah negara. Tanpa keris, pakaian itu tidak dianggap lengkap. Begitu juga dengan pembesar-pembesar, pegawai-pegawai kerajaan, rakyat mesti memakai keris apabila menghadiri upacara tertentu di istana. Kebenaran ini dibuktikan oleh Dr. Hamka dalam buku Sejarah Melayu: Sejarah Umat Islam melalui ayat “Jika masuk ke dalam istana tiada berkain pancung dan tiada berkeris di sebelah muka, tidaklah boleh masuk ke dalam walaupun sesiapa.” Namun, cara dan peraturan memakai keris kini tidak lagi dititkberatkan. Berbanding masa dahulu, masyarakat mengetahui jenis keris dan aturan memakainya. Bersesuaian dengan penghargaan dan kekeramatan yang ada, keris turut dijadikan sebagai senjata diraja untuk upacara pertabalan raja contohnya Keris Pestaka yang wajib dipakai oleh Sultan Perak semasa majlis upacara pertabalan baginda.
Berpandukan kepada sejarah Kerajaan Melayu Melaka pula, keris menjadi salah satu lambang penyerahan tugas diraja oleh sultan ketika pelantikan seseorang panglima atau laksamana untuk melaksanakan kewajipan yang diamanahkan. Sesetengah pemilik keris sanggup menyimpan senjata ini yang menjadi warisan keturunan sebagai artifak yang cukup berharga dan mesti dihormati. Selalunya penjagaan dan pewarisan keris berhubung kait dengan sejarah keturunan yang boleh dibanggakan. Bagi golongan pesilat atau pengamal seni permainan senjata ini, keris yang diwarisi turun-temurun dijadikan pusaka yang berharga. Cerita yang ada pada keris dapat menemukan sejarah dan salasilah keturunan mereka. Keyakinan terhadap fungsi dan jasa yang besar dalam sejarah sesuatu perjuangan oleh keturunan dan jasa keris itu sendiri kepada pemilik sebelumnya menjadi landasan khusus seseorang pewaris tidak begitu mudah untuk menjual atau memberikan kepada orang lain yang tiada perkaitan darah atau sejarah keturunan.
Selain itu, keris tersebut boleh menjadi peniup semangat, pendorong terhadap keutuhan dan kegemilangan keluarga serta keturunannya. Kesimpulannya, keris merupakan simbol pusat budaya dan pemahaman terhadap sejarah sesuatu bangsa. Reka bentuk keris menjadi cerminan bangsa Melayu yang menggambarkan kreativiti, manifestasi yang tinggi, seni ukir dan tukangan yang begitu halus hasil ketajaman fikiran penukangnya. Hasilan ini diindahkan dengan seni penggunaan dan seni permainan dalam silat Melayu yang diharmonikan dengan pergerakan-pergerakan yang penuh ‘berisi’ dan ‘berahsia’ hasil pengungkapan dan pengolahan minda yang begitu mendalam. Keris turut menjadi lambang, darjat dan kudrat kekuasaan bangsa Melayu yang mencerminkan ketinggian budaya dan ketamadunannya.
Tuesday, October 30, 2007
Monday, October 29, 2007
Kenangan
Sewaktu ketika dahulu, byk rancangan2 berkaitan ilmu mempertahankan diri di siarkan di stesen2 tv..namun kini telah luput di telan zaman..ilmu mempertahankan diri yang cukup popular antaranya ialah silat..drama2 seperti 'Keris Hitam Bersepuh Emas', 'Semutar Hitam', dan dokumentari seperti 'Mahaguru' telah lama tidak di siarkan..Saya amat berharap rancangan2 seperti ini di siarkan kembali agar menjadi contoh dan pembakar semangat untuk anak2 muda belajar selok belok ilmu mempertahankan diri seperti silat demi maruah dan keselamatan diri.
" Sediakan Payung Sebelum Hujan"
" Sediakan Payung Sebelum Hujan"
Sunday, October 28, 2007
Melayu Kini.
Semakin hari, semakin banyak kejadian2 yang ngeri berlaku.
Jenayah di sana sini..manusia makin ramai yang jahat..
Aku kadang kala sedih dan kesian melihat kejadian2 seperti ini melanda bangsa ku..Melayu.
Anak2 muda melayu berfoya2 dan berhibur tidak kira masa, tempat dan tidak ada sedikit pun perasaan malu.
Usahkan hendak menuntut ugama, nk bawa diri pun masih merangkak dan tersungkur.
Begitu jua dengan pilihanraya kampus baru2 ini..aku sedih melihat anak2 melayu yang saling bertekak menuding jari sesama sendiri, sesama melayu..orang lain hanya bertepuk tangan dan menunggu masa tiba untuk jadikan melayu pengemis di bumi sendiri..
Pukul-memukul, belasah-membelasah, tenking-menenking, caci-mencaci, memaki hamun, adakah ini budaya melayu kita yang pernah di katakan berjiwa besar????
Melayu Mudah Lupa, seakan2 benar apa yang di katakan oleh Tun Dr Mahathir..
Melayu sudah lupa siapa melayu itu..
Melayu sudah lupa adat melayu.
Melayu sudah lupa budaya melayu.
Melayu sudah lupa yang ianya pernah menjadi bangsa yang bermaruah.
Melayu sudah lupa yang ianya pernah di sanjung serantau dunia.
Melayu sudah lupa warisan dan peninggalan nenek moyang nya.
Melayu sudah lupa yang ianya adalah melayu.
Adat, budaya, budi pekerti, ilmu ugama, seni adalah sudah lapuk bagi melayu kini.
Segalanya sudah moden, buat apa perlu itu semua, yang hanya sezaman dengan zaman dahulu kala.
Tp walau apapun mereka sangka, mereka kata, mereka anggap, aku tetap berpegang kepada kata2 seorang yang amat di geruni dahulukala..
Dato' Laksamana Hang Tuah " Takkan Melayu Hilang Di Dunia"..
Jenayah di sana sini..manusia makin ramai yang jahat..
Aku kadang kala sedih dan kesian melihat kejadian2 seperti ini melanda bangsa ku..Melayu.
Anak2 muda melayu berfoya2 dan berhibur tidak kira masa, tempat dan tidak ada sedikit pun perasaan malu.
Usahkan hendak menuntut ugama, nk bawa diri pun masih merangkak dan tersungkur.
Begitu jua dengan pilihanraya kampus baru2 ini..aku sedih melihat anak2 melayu yang saling bertekak menuding jari sesama sendiri, sesama melayu..orang lain hanya bertepuk tangan dan menunggu masa tiba untuk jadikan melayu pengemis di bumi sendiri..
Pukul-memukul, belasah-membelasah, tenking-menenking, caci-mencaci, memaki hamun, adakah ini budaya melayu kita yang pernah di katakan berjiwa besar????
Melayu Mudah Lupa, seakan2 benar apa yang di katakan oleh Tun Dr Mahathir..
Melayu sudah lupa siapa melayu itu..
Melayu sudah lupa adat melayu.
Melayu sudah lupa budaya melayu.
Melayu sudah lupa yang ianya pernah menjadi bangsa yang bermaruah.
Melayu sudah lupa yang ianya pernah di sanjung serantau dunia.
Melayu sudah lupa warisan dan peninggalan nenek moyang nya.
Melayu sudah lupa yang ianya adalah melayu.
Adat, budaya, budi pekerti, ilmu ugama, seni adalah sudah lapuk bagi melayu kini.
Segalanya sudah moden, buat apa perlu itu semua, yang hanya sezaman dengan zaman dahulu kala.
Tp walau apapun mereka sangka, mereka kata, mereka anggap, aku tetap berpegang kepada kata2 seorang yang amat di geruni dahulukala..
Dato' Laksamana Hang Tuah " Takkan Melayu Hilang Di Dunia"..
Subscribe to:
Posts (Atom)